PENGINTEGRASIAN SUMBER MAKLUMAT DARI LAMAN WEB UNTUK PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN AMALAN BERHIAS DIRI YANG DILARANG DALAM ISLAM(PENDIDIKAN ISLAM)
Sunday, November 16, 2008

TATU, MENCABUT BULU MUKA/KENING DAN MENGASAH GIGI

TATU

Tatu ialah tanda ukiran pada tangan, muka atau bahagian lain pada badan dan ia bukan adat resam Melayu. Ia adalah pengaruh budaya asing, sesetengahnya baik lelaki mahupun wanita membuat tatu pada bahagian badan mereka.

Bagi mendapatkan tatu, kulit badan biasanya dicucuk dengan jarum atau seumpamanya sehingga keluar darah, kemudian ditabur di atas badan yang dicucuk jarum itu dengan nila atau lain-lain bahan supaya tempat itu menjadi biru atau seumpamanya.

Tujuan bertatu biasanya kerana suka-suka untuk tujuan perhiasan, malah tidak kurang yang melakukannya kerana amalan budaya dalam suku kaum mereka dan melambangkan persembahan agama seperti orang Kristian mengukir lambang salib pada bahagian badan mereka.

Menurut ulamak fiqh,tempat yang ditatu adalah najis disebabkab darah beku yang tersekat disitu. Ia wajib dihilangkan sekiranya boleh dengan rawatan. Sebaliknya, jika tidak boleh kecuali dengan pembedahan dia tidak wajib menghilangkannya, sekiranya dibimbangi berlaku kemudharatan atau kecacatan yang teruk kepada anggota zahir seperti muka, tangan dan lain-lain. Dalam hal ini memadailah bertaubat daripada ssegala dosanya itu. Namun jika tiada kebimbangan tersebut, dia wajib menghilangkannya dan berdosa melengah-lengahkannya.





MENCABUT BULU MUKA /KENING

Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan ciptaan Allah S.W.T. yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baharu selepas itu agar menepati cita rasa sendiri supaya kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan yang haram di sisi Islam.

Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah S.W.T. Lagipun jika yang dicabut itu hanyalah yang berselerak dan bukan termasuk bulu yang dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya. Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah S.W.T kerana Allah S.WT itu cantik dan sukakan kecantikan.

MENGASAH GIGI

Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya sahaja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi dan menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah atau mengikir)

Mengasah gigi untuk menjarangkannya, mencabut bulu di muka dan membuat tatu adalah haram bagi lelaki dan perempuan, sama ada yang melakukannya atau yang diperlakukannya, hal ini adalah kerana terdapat dalil yang melaknat perbuatan tersebut yang hanya berlaku atas perkara yang haram dan dosa besar.



DALIL PENGHARAMAN:

Beberapa buah hadis sahih pada darjatnya yang tertinggi (riwayat al-Bukhari dan Muslim) yang melarang perbuatan mengubah ciptaan Allah s.w.t.:

"Daripada Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma sesungguhnya Rasulullah s.a.w melaknat perempuan yang menyambung rambutnya, yang minta disambungkan, yang menyucuk kulit badan dengan jarum (bertatu) dan yang minta dibuatkan tatu."

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada `Abdullah bin `Umar bin Al-Khattab bahawa Rasulullah s.a.w. melaknat al-Waasilah, al-Mustawsilah, al-Waasyimah (pembuat tatu) dan al-Mustawsyimah (orang yang meminta supaya dibuat tatu).

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)




Daripada Abdullah bin Mas’ud ra katanya,”Allah melaknat perempuan yang membuat tatu, yang diminta membuatnya, yang mencabut bulu muka dan yang mengasah gigiuntuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah. Kenapa pula aku tidak mencerca mereka yang dilaknat oleh Rasulullah saw sedangkan di dalam Al-Quran Allah menyatakan firman-Nya yang bermaksud: (dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah saw kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya.)

(riwayat al-Bukhari dan muslim)


Begitu juga hadis lain yang bermaksud:

Daripada Abdullah bin Umar ra Rasulullah saw bersabda,:Allah melaknat perempuan yang memakai rambut orang lain dan yang diminta memakaikannya, dan perempuan yang membuat tatu dan yang diminta dibuatnya.

(riwayat al-Bukhari dan muslim)

Begitu juga hadis lain yang bermaksud:

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Allah mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah.”

(riwayat ibn Mas’ud)


Daripada `Aisyah r.a. bahawa seorang wanita bertanya Nabi s.a.w.: Wahai Rasulullah, anak perempuanku yang baru berkahwin terkena penyakit kulit sehingga rambutnya keguguran dan terputus-putus. Apakah boleh ku sambungkan rambutnya? (memakaikan rambut lain yang palsu). Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah s.w.t. melaknat al-Waasilah (orang yang memakaikan rambut palsu kepada orang lain) dan al-Mawsuulah / al-Mustawsilah (orang dipakaikan rambut palsu).

No comments:

SENARAI RUJUKAN

Fuziah bt Hj Muhamad Ramli, Aminah bt Idris, 2003. cetakan ke-2, Pendidikan Islam Tingkatan 4, Dewan Bahasa dan Pustaka


Kamus Dewan 2001. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka


Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustafa Al-Bugha, Ali al-Syarbaji 2004. cetakan ke-2, Manhaj Fiqh Al-Syafi’I (jilid III), Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

Ab. Latif b Muda, 2002. Huraian Hadis-hadis Hukum(jilid 2), Pustaka Salam, Kuala Lumpur.


Hj Muhammad Nur Lubis, 1999. Ulasan Ulama’ tentang Janggut & Misai, Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur

Akmal Hj Mhd Zain, 2004. Halal dan Haram Dalam Kehidupan, Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur.


Abdullah ibnu Saleh Al Fauzaan terjemah oleh Na’mah Nor Hasanuddin, 2006. Perhiasan Wanita Muslimah, Pustaka Al-Shafa bersama dengan Victory Agencie, Kuala Lumpur

Abdul Basith bin Ibrahim El-Bantany, 2001. Adab Islam Dalam Kehidupan Sehari-hari, Media Da’wah, Jakarta.

Ahmad Rivai Usman, 2005. Tuntutan Fikih Islam Syaikh Albani, Pustaka Azzam, Jakarta