PENGINTEGRASIAN SUMBER MAKLUMAT DARI LAMAN WEB UNTUK PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN AMALAN BERHIAS DIRI YANG DILARANG DALAM ISLAM(PENDIDIKAN ISLAM)
Sunday, November 16, 2008

PETA KONSEP



MENIRU GAYA LELAKI DAN PEREMPUAN

Meniru gaya orang perempuan sama ada dari segi pakaian dan perhiasan seperti memakai gelang, subang dan kalung, atau dari segi gaya bercakap dan berjalan seperti berlenggang lenggok, bercakap dengan suara yang halus dan lanjut dan lain-lain yang menjadi kebiasaan orang perempuan.

Sementara meniru gaya orang lelaki pula adalah dari segi pakaian dan perwatakan seperti pergerakan yang kasar, berlagak lelaki, mencukur rambut kepala dan seumpamanya yang menjadi kebiasaan orang lelaki

Perbuatan ini juga merupakan antara kemungkaran yang merebak dengan meluas dikalangan umat Islam.

HUKUMNYA:

Perbuatan tersebut, sama ada lelaki berlagak perempuan atau sebaliknya adalah haram bahkan berdosa berdasarkan terdapatnya dalil yang melaknat orang yang melakukannya.


DALIL PENGHARAMANNYA:

Perbuatan berlagak lelaki atau perempuan adalah haram berdasarkan hadis:

Daripada ibnu Abbas ra katanya, “Rasulullah saw melaknat lelaki yang meniru gaya perempuan dan perempuan yang meniru gaya lelaki”
(Riwayat Al-Bukhari)

Hadis yang ke-2 pula bermaksud:
Daripada Ibnu Abbas ra katanya, “ nabi saw melaknat lelaki yang berperangai perempuan dan perempuan yang berperangai lelaki. Baginda bersabda, usirlah mereka dari rumah kamu”
(Riwayat Al-Bukhari)

KESIMPULAN
Walaubagaimanapun, tidak mengapa sekiranya keadaan itu memang perwatakan semulajadi dan tanpa dibuat-buat. Akan tetapi dia sendiri hendaklah berusaha mengubahnya.
TATU

Tatu ialah tanda ukiran pada tangan, muka atau bahagian lain pada badan dan ia bukan adat resam Melayu. Ia adalah pengaruh budaya asing, sesetengahnya baik lelaki mahupun wanita membuat tatu pada bahagian badan mereka.

Bagi mendapatkan tatu, kulit badan biasanya dicucuk dengan jarum atau seumpamanya sehingga keluar darah, kemudian ditabur di atas badan yang dicucuk jarum itu dengan nila atau lain-lain bahan supaya tempat itu menjadi biru atau seumpamanya.

Tujuan bertatu biasanya kerana suka-suka untuk tujuan perhiasan, malah tidak kurang yang melakukannya kerana amalan budaya dalam suku kaum mereka dan melambangkan persembahan agama seperti orang Kristian mengukir lambang salib pada bahagian badan mereka.

Menurut ulamak fiqh,tempat yang ditatu adalah najis disebabkab darah beku yang tersekat disitu. Ia wajib dihilangkan sekiranya boleh dengan rawatan. Sebaliknya, jika tidak boleh kecuali dengan pembedahan dia tidak wajib menghilangkannya, sekiranya dibimbangi berlaku kemudharatan atau kecacatan yang teruk kepada anggota zahir seperti muka, tangan dan lain-lain. Dalam hal ini memadailah bertaubat daripada ssegala dosanya itu. Namun jika tiada kebimbangan tersebut, dia wajib menghilangkannya dan berdosa melengah-lengahkannya.





MENCABUT BULU MUKA /KENING

Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan ciptaan Allah S.W.T. yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baharu selepas itu agar menepati cita rasa sendiri supaya kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan yang haram di sisi Islam.

Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah S.W.T. Lagipun jika yang dicabut itu hanyalah yang berselerak dan bukan termasuk bulu yang dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya. Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah S.W.T kerana Allah S.WT itu cantik dan sukakan kecantikan.

MENGASAH GIGI

Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya sahaja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi dan menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah atau mengikir)

Mengasah gigi untuk menjarangkannya, mencabut bulu di muka dan membuat tatu adalah haram bagi lelaki dan perempuan, sama ada yang melakukannya atau yang diperlakukannya, hal ini adalah kerana terdapat dalil yang melaknat perbuatan tersebut yang hanya berlaku atas perkara yang haram dan dosa besar.



DALIL PENGHARAMAN:

Beberapa buah hadis sahih pada darjatnya yang tertinggi (riwayat al-Bukhari dan Muslim) yang melarang perbuatan mengubah ciptaan Allah s.w.t.:

"Daripada Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma sesungguhnya Rasulullah s.a.w melaknat perempuan yang menyambung rambutnya, yang minta disambungkan, yang menyucuk kulit badan dengan jarum (bertatu) dan yang minta dibuatkan tatu."

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada `Abdullah bin `Umar bin Al-Khattab bahawa Rasulullah s.a.w. melaknat al-Waasilah, al-Mustawsilah, al-Waasyimah (pembuat tatu) dan al-Mustawsyimah (orang yang meminta supaya dibuat tatu).

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)




Daripada Abdullah bin Mas’ud ra katanya,”Allah melaknat perempuan yang membuat tatu, yang diminta membuatnya, yang mencabut bulu muka dan yang mengasah gigiuntuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah. Kenapa pula aku tidak mencerca mereka yang dilaknat oleh Rasulullah saw sedangkan di dalam Al-Quran Allah menyatakan firman-Nya yang bermaksud: (dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah saw kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya.)

(riwayat al-Bukhari dan muslim)


Begitu juga hadis lain yang bermaksud:

Daripada Abdullah bin Umar ra Rasulullah saw bersabda,:Allah melaknat perempuan yang memakai rambut orang lain dan yang diminta memakaikannya, dan perempuan yang membuat tatu dan yang diminta dibuatnya.

(riwayat al-Bukhari dan muslim)

Begitu juga hadis lain yang bermaksud:

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Allah mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah.”

(riwayat ibn Mas’ud)


Daripada `Aisyah r.a. bahawa seorang wanita bertanya Nabi s.a.w.: Wahai Rasulullah, anak perempuanku yang baru berkahwin terkena penyakit kulit sehingga rambutnya keguguran dan terputus-putus. Apakah boleh ku sambungkan rambutnya? (memakaikan rambut lain yang palsu). Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah s.w.t. melaknat al-Waasilah (orang yang memakaikan rambut palsu kepada orang lain) dan al-Mawsuulah / al-Mustawsilah (orang dipakaikan rambut palsu).

PENGHARAMAN MEMAKAI SUTERA BAGI LELAKI

Sutera adalah sejenis benang yang lembut dan halus yang didapati daripada sejenis ulat, ataupun bermaksud kain atau cita yang dibuat daripada benang sutera. (Kamus Dewan 1331)


Kain yang diperbuat daripada benang sutera ini sudah menjadi popular dikalangan orang ramai terutama sekali kaum perempuan dan tidak kurang pula oleh sebahagian kaum lelaki. Kain yang lembut dan halus serta mempunyai nilai yang tinggi ini menambahkan lagi minat pemakainya bagi menunjukkan status atau kedudukan seseorang itu sama ada sebagai orang yang berada atau ingin bergaya.


Sebagai barang yang mewah, seperti emas, Islam mempunyai penilaiannya tersendiri. Dalam Hal ini bagaimanakah pandangan Islam terhadap penggunaan sutera ini? Maka Irsyad Hukum kali ini akan menjelaskan dan menghuraikan beberapa perkara yang berhubung dengan penggunaan atau pemakaian sutera.


Hukum Memakai Sutera


Hukum memakai pakaian yang diperbuat daripada benang sutera itu tertakluk kepada pemakainya. Jika ia seorang perempuan adalah halal memakainya, sebaliknya haram hukumnya bagi lelaki.


Dalil Pengharaman


Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang tafsirnya :

"Emas dan sutera dihalalkan bagi wanita daripada umatku dan diharamkan ke atas lelaki daripada umatku."


(Hadis riwayat An-Nasa’ie)


Hadis yang lain lagi daripada Abu Laila katanya:

Maksudnya: "Ketika tiba di Madayin, Hudzaifah meminta minuman. Lalu datang seorang pembesar kampung dengan membawa gelas yang diperbuat daripada perak. (Hudzaifah) membuang gelas tersebut, lalu berkata: "Sesungguhnya aku tidak membuangnya melainkan aku melarangnya tetapi tidak berhenti. Sesungguhnya Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melarang kita daripada menggunakan sutera dan dibaj (sejenis sutera) serta minum daripada bejana emas dan perak. Baginda bersabda: "Ia (sutera dan bejana) bagi mereka di dunia dan ia (sutera dan bejana) bagi kamu di akhirat."

(Hadis riwayat Al-Bukhari)


Daripada Ibnu ‘Umar katanya :

Maksudnya: "Aku pernah mendengar ‘Umar menyebutkan bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa memakai sutera di dunia tidak akan memakainya di akhirat."


(Hadis riwayat At-Tirmidzi)


Menurut Asy-Syaukani, bahawa hadis di atas menunjukkan kepada sindiran tidak masuk syurga, kerana sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman bahawa pakaian ahli syurga itu adalah sutera. Oleh yang demikian, barangsiapa yang memakai pakaian sutera maka tidak akan masuk ke dalam syurga. Sementara menurut As-Suyuthi, hadis ini ditakwil oleh kebanyakkan ahli hadis bahawa orang yang memakai sutera itu tidak akan masuk syurga bersama-sama orang yang terdahulu yang berjaya. (Tuhfah Al-Ahwadzi, kitab Al-Adab, bab Ma Ja’a Fi Karahiyah Al-Harir Wa Ad-Dibaj: 8/88) Pendapat ini disokong lagi dengan hadis daripada Juwairiyah katanya :

Maksudnya: "Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: "Barangsiapa memakai pakaian sutera, nescaya Allah memakaikannya pakaian daripada neraka di hari qiamat kelak."


(Hadis riwayat Ahmad)


Titik permulaannya pengharaman memakai pakaian sutera ini adalah ketika Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memakai sutera lalu dilarang oleh Jibril ‘alaihissalam, sebagaimana diceritakan dalam hadis daripada ‘Uqbah bin ‘Amir katanya:

Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dihadiahkan (oleh Ukaidir) dengan farruj (sejenis pakaian) sutera. Baginda memakainya lalu mengerjakan sembahyang dengan pakaian itu. Setelah selesai sembahyang Baginda menanggalkan pakaian itu dengan keras seperti membencinya. Baginda bersabda: "Pakaian ini tidak sesuai bagi orang-orang yang bertakwa."


(Hadis riwayat Muslim)


Banyak lagi hadis-hadis yang melarang lelaki memakai pakaian sutera dan menghalalkan perempuan memakainya, di antaranya hadis daripada ‘Ali Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memegang sutera di tangan kirinya dan emas di tangan kanannya. Baginda mengangkat keduanya lalu bersabda: "Sesungguhnya kedua-dua ini haram ke atas lelaki daripada umatku dan halal bagi perempuan daripada umatku."


(Hadis riwayat Ibnu Majah)


Adapun memakai sutera kerana dharurah seperti ketika musim sejuk atau panas atau selainnya, dan tiada pakaian lain selain sutera, maka harus dia memakai pakaian tersebut bahkan hendaklah dia memakainya bagi menutup aurat. (Al-Majmu‘, kitab Ash-Shalah, bab Ma Yukrah Lubshu Wa Ma La Yukrah: 4/380)



PERKARA YANG DIKECUALIKAN


Terdapat dua keadaan yang dikecualikan daripada pengharaman tersebut:

  1. Jika keadaan terdesak(darurat)

Ketika ketiadaan sesuatu untuk menutup aurat atau melindungi badan daripada cuaca panas dan sejuk seseorang harus memakai sutera sementar mendapatkan yang lain. Hal ini adalah kerana kaedah fiqh menyatakan bahawa “keadaan terdesak boleh mengharuskan perkara yang terlarang, dan keharusan dalam keadaan terdesak adalah sekadar keadaan tersebut”.

  1. Keadaan yang memerlukan

Harus bagi lelaki memakai sutera yang diperlukan untuk mengatasi kemudharatan yang dihadapinya, jika dengan memakai sutera penyakitnya akan segera sembuh atau meringankan kesakitan yang dialami.

Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud:

Daripada Anas bin Malik ra, Rasulullah saw memberi kemudahan kepada Abdul Rahman bin Auf dan Zubair bin Auwam ra memakai baju sutera semasa bermusafir disebabkan gatal-gatal atau kesakitan yang mereka alami.


HIKMAH PENGHARAMAN


Himah pengharaman sutera bagi lelaki, selain daripada patuh dan taat semata-mata adalah mengelakkan unsure-unsur kebanggaan dan keangkuhan, bersifat keperempuanan dan kepondanan yang jauh berbeza dengan cirri-ciri kelekakian. Seseorang lelaki tidak dijadikan untuk terus dewasa dengan barang-barang kemas , berbangga dengan barangan hiasan, memperlihatkan penampilan ;embutyang menyerupai perempuan dan tidak sanggup menghadapi perkara-perkara penting yang mencabar. Sebaliknya mereka dijadikan untuk mengharungi kenyataan hidup, mengatasi segala kesulitan, melaksanakan pelbagai tanggung jawab dan tabah menempuh bahaya dan bala bencana. Kesemua ini memerlukan tindakan agrasif yang jauh sama sekali daripada sifat-sifat lembut, bermewah-mewah, bersifat pondan dan lembik.

MENGHITAMKAN RAMBUT

Haram bagi lelaki dan perempuan mewarnakan janggut dan rambut dengan warna hitam. Namun sunat mewarnakan uban dan rambut dengan warna yang lain sama ada kuning atau merah.

DALIL PENGHARAMAN:

Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud:
“Daripada Jabir ra katanya Abu Quhafah yang rambutnya putih bak bunga kemboja dinawa menemui Rasulullah saw pada hari penawanan kota Makkah lalu baginda bersabda, ubahlah warna rambut mu ini dengan sesuatu dan elakkanlah warna hitam.”

Hadis lain bermaksud:
“Daripada Abu Hurairah ra katanya, Rasulullah saw bersabda, ubahlah warna uban dan jangan menyerupai orang yahudi”]

Hadis lain bermaksud:
Daripada Abu Hurairah ra nabi saw bersabda, orang yahudi dan nasrani tidak mewarnakan rambut. Justeru hendaklah kamu berlainan daripada mereka.

HIKMAH PENGHARAMAN

Perbuatan menghitamkan uban mengandungi unsur-unsur pemalsuan dan mengubah keadaan yang sebenar. Dengan celupan warna hitam seseorang dewasa akan kelihatan seperti remaja, orang tua kelihatan muda kepada penglihatan orang ramai.hal ini menyebabkan sangkaan mereka berlainan daripada keadaan yang sebenar.

Adapun warna yang berlainan tidaklah sampai ke tahap pengubahan, penipuan dan pemalsuan berbanding warna hitam.

KESIMPULAN PENGHARAMAN:

a) Hadith larangan adalah menujukan kepada larangan penipuan umur yang tua akibat tua dan uban maka dihitamkan bagi kelihatan lebih muda. Tidak kira dari kalangn lelaki mahupun perempuan. Ia dilarang oleh Islam.

b) Adapun hadith yang mengharuskan adalah dalam keadaan dan sebab2 yang diiktiraf oleh syarak, seperti perang bagi menakutkan musuh, ataupun ia tidak mengandungi unsur penipuan, seperti merawat penyakit dll.

Walaubagaimanapun, hukum kesemua tajuk ini umumnya adalah kerana patuh dan taat semata-mata.

RAMBUT PALSU ? MENYAMBUNG RAMBUT


Dalam hal menyambung rambut ini para ashab (‘ulama-‘ulama Asy-Syafi‘e) telah menghuraikannya dengan lebih jelas, iaitu tiada perbezaan pendapat ‘ulama mengenai hukum haram menyambung rambut dengan rambut manusia, sama ada rambut lelaki atau perempuan ataupun rambut suami atau mahram. Ini kerana menggunakan atau memanfaatkan rambut manusia adalah haram disebabkan kemuliaannya.Justify Full

Jika rambut itu bukan berasal daripada manusia dan ianya najis seperti bulu daripada bangkai binatang atau bulu binatang yang tidak boleh dimakan adalah haram disambung dengannya. Sementara rambut bukan kepunyaan manusia yang suci, jika perempuan itu tidak bersuami maka haram dia menyambungnya, melainkan bagi perempuan yang bersuami dan diizinkan oleh suaminya. (Shahih Muslim Bisyarh An-Nawawi: 7/359-360)

Haram menyambung rambut dengan rambut ke atas lelaki dan perempuan. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/364) Malahan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat orang-orang yang melakukan perbuatan demikian. Sebagaimana disebutkan oleh beberapa hadis di antaranya daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma berkata:
Maksudnya: "Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat perempuan yang menyambung rambut dengan rambut yang lain, orang yang meminta sambungkan rambut dan orang yang bertatu."
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

DALIL PENGHARAMAN:

Di sini, disebut beberapa buah hadis sahih pada darjatnya yang tertinggi (riwayat al-Bukhari dan Muslim) yang melarang perbuatan mengubah ciptaan Allah s.w.t.:

i. Daripada `Aisyah r.a. bahawa seorang wanita bertanya Nabi s.a.w.: Wahai Rasulullah, anak perempuanku yang baru berkahwin terkena penyakit kulit sehingga rambutnya keguguran dan terputus-putus. Apakah boleh ku sambungkan rambutnya? (memakaikan rambut lain yang palsu). Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah s.w.t. melaknat al-Waasilah (orang yang memakaikan rambut palsu kepada orang lain) dan al-Mawsuulah / al-Mustawsilah (orang dipakaikan rambut palsu).

ii. Daripada Humayd bin `Abdir-Rahman bahawa beliau mendengar Mu`awiyah bin Abi Sufyan berkata dari atas mimbar pada satu musim haji tentang rambut palsu yang dibawa oleh seorang pengawal: "Wahai penduduk Madinah, di manakah ulama kamu? Sesungguhnya aku mendengar Nabi s.a.w. melarang perbuatan seperti ini (memakai rambut palsu) dan baginda bersabda: "Sesungguhnya Bani Israel rosak binasa apabila wanita-wanita mereka mengamalkan pemakaian benda ini (rambut palsu)"

Hadis di atas jelas menerangkan bahawa menyambung rambut perempuan dengan rambut orang lain atau meminta orang lain menyambungkan rambutnya dengan rambut orang lain adalah haram.

HIKMAH PENGHARAMAN:

Hikmah pengharamannya adalah kerana pemalsuan hakikat yang sebenar, mengubah ciptaan yang asal, dan menzahirkan keadaan yang tidak benar.

Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud:
Daripada said bin Al-Musaiyab ra katanya, “pada akhir kedatangan Mu’awiyah ke Madinah, beliau berucap kepada kami. Sambil mengeluarkan segumpal rambut dia berkata, aku tidak melihat seseorang membuat ini selain orang Yahudi. Nabi saw menamakannya kepalsuan,

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa sebab pengharaman ialah pemalsuaan, penipuan dan mengubah kejadian asal.

SENARAI RUJUKAN

Fuziah bt Hj Muhamad Ramli, Aminah bt Idris, 2003. cetakan ke-2, Pendidikan Islam Tingkatan 4, Dewan Bahasa dan Pustaka


Kamus Dewan 2001. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka


Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustafa Al-Bugha, Ali al-Syarbaji 2004. cetakan ke-2, Manhaj Fiqh Al-Syafi’I (jilid III), Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

Ab. Latif b Muda, 2002. Huraian Hadis-hadis Hukum(jilid 2), Pustaka Salam, Kuala Lumpur.


Hj Muhammad Nur Lubis, 1999. Ulasan Ulama’ tentang Janggut & Misai, Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur

Akmal Hj Mhd Zain, 2004. Halal dan Haram Dalam Kehidupan, Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur.


Abdullah ibnu Saleh Al Fauzaan terjemah oleh Na’mah Nor Hasanuddin, 2006. Perhiasan Wanita Muslimah, Pustaka Al-Shafa bersama dengan Victory Agencie, Kuala Lumpur

Abdul Basith bin Ibrahim El-Bantany, 2001. Adab Islam Dalam Kehidupan Sehari-hari, Media Da’wah, Jakarta.

Ahmad Rivai Usman, 2005. Tuntutan Fikih Islam Syaikh Albani, Pustaka Azzam, Jakarta