PENGINTEGRASIAN SUMBER MAKLUMAT DARI LAMAN WEB UNTUK PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN AMALAN BERHIAS DIRI YANG DILARANG DALAM ISLAM(PENDIDIKAN ISLAM)
Sunday, November 16, 2008

PETA KONSEP



MENIRU GAYA LELAKI DAN PEREMPUAN

Meniru gaya orang perempuan sama ada dari segi pakaian dan perhiasan seperti memakai gelang, subang dan kalung, atau dari segi gaya bercakap dan berjalan seperti berlenggang lenggok, bercakap dengan suara yang halus dan lanjut dan lain-lain yang menjadi kebiasaan orang perempuan.

Sementara meniru gaya orang lelaki pula adalah dari segi pakaian dan perwatakan seperti pergerakan yang kasar, berlagak lelaki, mencukur rambut kepala dan seumpamanya yang menjadi kebiasaan orang lelaki

Perbuatan ini juga merupakan antara kemungkaran yang merebak dengan meluas dikalangan umat Islam.

HUKUMNYA:

Perbuatan tersebut, sama ada lelaki berlagak perempuan atau sebaliknya adalah haram bahkan berdosa berdasarkan terdapatnya dalil yang melaknat orang yang melakukannya.


DALIL PENGHARAMANNYA:

Perbuatan berlagak lelaki atau perempuan adalah haram berdasarkan hadis:

Daripada ibnu Abbas ra katanya, “Rasulullah saw melaknat lelaki yang meniru gaya perempuan dan perempuan yang meniru gaya lelaki”
(Riwayat Al-Bukhari)

Hadis yang ke-2 pula bermaksud:
Daripada Ibnu Abbas ra katanya, “ nabi saw melaknat lelaki yang berperangai perempuan dan perempuan yang berperangai lelaki. Baginda bersabda, usirlah mereka dari rumah kamu”
(Riwayat Al-Bukhari)

KESIMPULAN
Walaubagaimanapun, tidak mengapa sekiranya keadaan itu memang perwatakan semulajadi dan tanpa dibuat-buat. Akan tetapi dia sendiri hendaklah berusaha mengubahnya.
TATU

Tatu ialah tanda ukiran pada tangan, muka atau bahagian lain pada badan dan ia bukan adat resam Melayu. Ia adalah pengaruh budaya asing, sesetengahnya baik lelaki mahupun wanita membuat tatu pada bahagian badan mereka.

Bagi mendapatkan tatu, kulit badan biasanya dicucuk dengan jarum atau seumpamanya sehingga keluar darah, kemudian ditabur di atas badan yang dicucuk jarum itu dengan nila atau lain-lain bahan supaya tempat itu menjadi biru atau seumpamanya.

Tujuan bertatu biasanya kerana suka-suka untuk tujuan perhiasan, malah tidak kurang yang melakukannya kerana amalan budaya dalam suku kaum mereka dan melambangkan persembahan agama seperti orang Kristian mengukir lambang salib pada bahagian badan mereka.

Menurut ulamak fiqh,tempat yang ditatu adalah najis disebabkab darah beku yang tersekat disitu. Ia wajib dihilangkan sekiranya boleh dengan rawatan. Sebaliknya, jika tidak boleh kecuali dengan pembedahan dia tidak wajib menghilangkannya, sekiranya dibimbangi berlaku kemudharatan atau kecacatan yang teruk kepada anggota zahir seperti muka, tangan dan lain-lain. Dalam hal ini memadailah bertaubat daripada ssegala dosanya itu. Namun jika tiada kebimbangan tersebut, dia wajib menghilangkannya dan berdosa melengah-lengahkannya.





MENCABUT BULU MUKA /KENING

Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan ciptaan Allah S.W.T. yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baharu selepas itu agar menepati cita rasa sendiri supaya kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan yang haram di sisi Islam.

Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah S.W.T. Lagipun jika yang dicabut itu hanyalah yang berselerak dan bukan termasuk bulu yang dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya. Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah S.W.T kerana Allah S.WT itu cantik dan sukakan kecantikan.

MENGASAH GIGI

Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya sahaja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi dan menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah atau mengikir)

Mengasah gigi untuk menjarangkannya, mencabut bulu di muka dan membuat tatu adalah haram bagi lelaki dan perempuan, sama ada yang melakukannya atau yang diperlakukannya, hal ini adalah kerana terdapat dalil yang melaknat perbuatan tersebut yang hanya berlaku atas perkara yang haram dan dosa besar.



DALIL PENGHARAMAN:

Beberapa buah hadis sahih pada darjatnya yang tertinggi (riwayat al-Bukhari dan Muslim) yang melarang perbuatan mengubah ciptaan Allah s.w.t.:

"Daripada Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma sesungguhnya Rasulullah s.a.w melaknat perempuan yang menyambung rambutnya, yang minta disambungkan, yang menyucuk kulit badan dengan jarum (bertatu) dan yang minta dibuatkan tatu."

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada `Abdullah bin `Umar bin Al-Khattab bahawa Rasulullah s.a.w. melaknat al-Waasilah, al-Mustawsilah, al-Waasyimah (pembuat tatu) dan al-Mustawsyimah (orang yang meminta supaya dibuat tatu).

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)




Daripada Abdullah bin Mas’ud ra katanya,”Allah melaknat perempuan yang membuat tatu, yang diminta membuatnya, yang mencabut bulu muka dan yang mengasah gigiuntuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah. Kenapa pula aku tidak mencerca mereka yang dilaknat oleh Rasulullah saw sedangkan di dalam Al-Quran Allah menyatakan firman-Nya yang bermaksud: (dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah saw kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya.)

(riwayat al-Bukhari dan muslim)


Begitu juga hadis lain yang bermaksud:

Daripada Abdullah bin Umar ra Rasulullah saw bersabda,:Allah melaknat perempuan yang memakai rambut orang lain dan yang diminta memakaikannya, dan perempuan yang membuat tatu dan yang diminta dibuatnya.

(riwayat al-Bukhari dan muslim)

Begitu juga hadis lain yang bermaksud:

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Allah mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah.”

(riwayat ibn Mas’ud)


Daripada `Aisyah r.a. bahawa seorang wanita bertanya Nabi s.a.w.: Wahai Rasulullah, anak perempuanku yang baru berkahwin terkena penyakit kulit sehingga rambutnya keguguran dan terputus-putus. Apakah boleh ku sambungkan rambutnya? (memakaikan rambut lain yang palsu). Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah s.w.t. melaknat al-Waasilah (orang yang memakaikan rambut palsu kepada orang lain) dan al-Mawsuulah / al-Mustawsilah (orang dipakaikan rambut palsu).

PENGHARAMAN MEMAKAI SUTERA BAGI LELAKI

Sutera adalah sejenis benang yang lembut dan halus yang didapati daripada sejenis ulat, ataupun bermaksud kain atau cita yang dibuat daripada benang sutera. (Kamus Dewan 1331)


Kain yang diperbuat daripada benang sutera ini sudah menjadi popular dikalangan orang ramai terutama sekali kaum perempuan dan tidak kurang pula oleh sebahagian kaum lelaki. Kain yang lembut dan halus serta mempunyai nilai yang tinggi ini menambahkan lagi minat pemakainya bagi menunjukkan status atau kedudukan seseorang itu sama ada sebagai orang yang berada atau ingin bergaya.


Sebagai barang yang mewah, seperti emas, Islam mempunyai penilaiannya tersendiri. Dalam Hal ini bagaimanakah pandangan Islam terhadap penggunaan sutera ini? Maka Irsyad Hukum kali ini akan menjelaskan dan menghuraikan beberapa perkara yang berhubung dengan penggunaan atau pemakaian sutera.


Hukum Memakai Sutera


Hukum memakai pakaian yang diperbuat daripada benang sutera itu tertakluk kepada pemakainya. Jika ia seorang perempuan adalah halal memakainya, sebaliknya haram hukumnya bagi lelaki.


Dalil Pengharaman


Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang tafsirnya :

"Emas dan sutera dihalalkan bagi wanita daripada umatku dan diharamkan ke atas lelaki daripada umatku."


(Hadis riwayat An-Nasa’ie)


Hadis yang lain lagi daripada Abu Laila katanya:

Maksudnya: "Ketika tiba di Madayin, Hudzaifah meminta minuman. Lalu datang seorang pembesar kampung dengan membawa gelas yang diperbuat daripada perak. (Hudzaifah) membuang gelas tersebut, lalu berkata: "Sesungguhnya aku tidak membuangnya melainkan aku melarangnya tetapi tidak berhenti. Sesungguhnya Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melarang kita daripada menggunakan sutera dan dibaj (sejenis sutera) serta minum daripada bejana emas dan perak. Baginda bersabda: "Ia (sutera dan bejana) bagi mereka di dunia dan ia (sutera dan bejana) bagi kamu di akhirat."

(Hadis riwayat Al-Bukhari)


Daripada Ibnu ‘Umar katanya :

Maksudnya: "Aku pernah mendengar ‘Umar menyebutkan bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa memakai sutera di dunia tidak akan memakainya di akhirat."


(Hadis riwayat At-Tirmidzi)


Menurut Asy-Syaukani, bahawa hadis di atas menunjukkan kepada sindiran tidak masuk syurga, kerana sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman bahawa pakaian ahli syurga itu adalah sutera. Oleh yang demikian, barangsiapa yang memakai pakaian sutera maka tidak akan masuk ke dalam syurga. Sementara menurut As-Suyuthi, hadis ini ditakwil oleh kebanyakkan ahli hadis bahawa orang yang memakai sutera itu tidak akan masuk syurga bersama-sama orang yang terdahulu yang berjaya. (Tuhfah Al-Ahwadzi, kitab Al-Adab, bab Ma Ja’a Fi Karahiyah Al-Harir Wa Ad-Dibaj: 8/88) Pendapat ini disokong lagi dengan hadis daripada Juwairiyah katanya :

Maksudnya: "Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: "Barangsiapa memakai pakaian sutera, nescaya Allah memakaikannya pakaian daripada neraka di hari qiamat kelak."


(Hadis riwayat Ahmad)


Titik permulaannya pengharaman memakai pakaian sutera ini adalah ketika Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memakai sutera lalu dilarang oleh Jibril ‘alaihissalam, sebagaimana diceritakan dalam hadis daripada ‘Uqbah bin ‘Amir katanya:

Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dihadiahkan (oleh Ukaidir) dengan farruj (sejenis pakaian) sutera. Baginda memakainya lalu mengerjakan sembahyang dengan pakaian itu. Setelah selesai sembahyang Baginda menanggalkan pakaian itu dengan keras seperti membencinya. Baginda bersabda: "Pakaian ini tidak sesuai bagi orang-orang yang bertakwa."


(Hadis riwayat Muslim)


Banyak lagi hadis-hadis yang melarang lelaki memakai pakaian sutera dan menghalalkan perempuan memakainya, di antaranya hadis daripada ‘Ali Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memegang sutera di tangan kirinya dan emas di tangan kanannya. Baginda mengangkat keduanya lalu bersabda: "Sesungguhnya kedua-dua ini haram ke atas lelaki daripada umatku dan halal bagi perempuan daripada umatku."


(Hadis riwayat Ibnu Majah)


Adapun memakai sutera kerana dharurah seperti ketika musim sejuk atau panas atau selainnya, dan tiada pakaian lain selain sutera, maka harus dia memakai pakaian tersebut bahkan hendaklah dia memakainya bagi menutup aurat. (Al-Majmu‘, kitab Ash-Shalah, bab Ma Yukrah Lubshu Wa Ma La Yukrah: 4/380)



PERKARA YANG DIKECUALIKAN


Terdapat dua keadaan yang dikecualikan daripada pengharaman tersebut:

  1. Jika keadaan terdesak(darurat)

Ketika ketiadaan sesuatu untuk menutup aurat atau melindungi badan daripada cuaca panas dan sejuk seseorang harus memakai sutera sementar mendapatkan yang lain. Hal ini adalah kerana kaedah fiqh menyatakan bahawa “keadaan terdesak boleh mengharuskan perkara yang terlarang, dan keharusan dalam keadaan terdesak adalah sekadar keadaan tersebut”.

  1. Keadaan yang memerlukan

Harus bagi lelaki memakai sutera yang diperlukan untuk mengatasi kemudharatan yang dihadapinya, jika dengan memakai sutera penyakitnya akan segera sembuh atau meringankan kesakitan yang dialami.

Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud:

Daripada Anas bin Malik ra, Rasulullah saw memberi kemudahan kepada Abdul Rahman bin Auf dan Zubair bin Auwam ra memakai baju sutera semasa bermusafir disebabkan gatal-gatal atau kesakitan yang mereka alami.


HIKMAH PENGHARAMAN


Himah pengharaman sutera bagi lelaki, selain daripada patuh dan taat semata-mata adalah mengelakkan unsure-unsur kebanggaan dan keangkuhan, bersifat keperempuanan dan kepondanan yang jauh berbeza dengan cirri-ciri kelekakian. Seseorang lelaki tidak dijadikan untuk terus dewasa dengan barang-barang kemas , berbangga dengan barangan hiasan, memperlihatkan penampilan ;embutyang menyerupai perempuan dan tidak sanggup menghadapi perkara-perkara penting yang mencabar. Sebaliknya mereka dijadikan untuk mengharungi kenyataan hidup, mengatasi segala kesulitan, melaksanakan pelbagai tanggung jawab dan tabah menempuh bahaya dan bala bencana. Kesemua ini memerlukan tindakan agrasif yang jauh sama sekali daripada sifat-sifat lembut, bermewah-mewah, bersifat pondan dan lembik.

MENGHITAMKAN RAMBUT

Haram bagi lelaki dan perempuan mewarnakan janggut dan rambut dengan warna hitam. Namun sunat mewarnakan uban dan rambut dengan warna yang lain sama ada kuning atau merah.

DALIL PENGHARAMAN:

Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud:
“Daripada Jabir ra katanya Abu Quhafah yang rambutnya putih bak bunga kemboja dinawa menemui Rasulullah saw pada hari penawanan kota Makkah lalu baginda bersabda, ubahlah warna rambut mu ini dengan sesuatu dan elakkanlah warna hitam.”

Hadis lain bermaksud:
“Daripada Abu Hurairah ra katanya, Rasulullah saw bersabda, ubahlah warna uban dan jangan menyerupai orang yahudi”]

Hadis lain bermaksud:
Daripada Abu Hurairah ra nabi saw bersabda, orang yahudi dan nasrani tidak mewarnakan rambut. Justeru hendaklah kamu berlainan daripada mereka.

HIKMAH PENGHARAMAN

Perbuatan menghitamkan uban mengandungi unsur-unsur pemalsuan dan mengubah keadaan yang sebenar. Dengan celupan warna hitam seseorang dewasa akan kelihatan seperti remaja, orang tua kelihatan muda kepada penglihatan orang ramai.hal ini menyebabkan sangkaan mereka berlainan daripada keadaan yang sebenar.

Adapun warna yang berlainan tidaklah sampai ke tahap pengubahan, penipuan dan pemalsuan berbanding warna hitam.

KESIMPULAN PENGHARAMAN:

a) Hadith larangan adalah menujukan kepada larangan penipuan umur yang tua akibat tua dan uban maka dihitamkan bagi kelihatan lebih muda. Tidak kira dari kalangn lelaki mahupun perempuan. Ia dilarang oleh Islam.

b) Adapun hadith yang mengharuskan adalah dalam keadaan dan sebab2 yang diiktiraf oleh syarak, seperti perang bagi menakutkan musuh, ataupun ia tidak mengandungi unsur penipuan, seperti merawat penyakit dll.

Walaubagaimanapun, hukum kesemua tajuk ini umumnya adalah kerana patuh dan taat semata-mata.

RAMBUT PALSU ? MENYAMBUNG RAMBUT


Dalam hal menyambung rambut ini para ashab (‘ulama-‘ulama Asy-Syafi‘e) telah menghuraikannya dengan lebih jelas, iaitu tiada perbezaan pendapat ‘ulama mengenai hukum haram menyambung rambut dengan rambut manusia, sama ada rambut lelaki atau perempuan ataupun rambut suami atau mahram. Ini kerana menggunakan atau memanfaatkan rambut manusia adalah haram disebabkan kemuliaannya.Justify Full

Jika rambut itu bukan berasal daripada manusia dan ianya najis seperti bulu daripada bangkai binatang atau bulu binatang yang tidak boleh dimakan adalah haram disambung dengannya. Sementara rambut bukan kepunyaan manusia yang suci, jika perempuan itu tidak bersuami maka haram dia menyambungnya, melainkan bagi perempuan yang bersuami dan diizinkan oleh suaminya. (Shahih Muslim Bisyarh An-Nawawi: 7/359-360)

Haram menyambung rambut dengan rambut ke atas lelaki dan perempuan. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/364) Malahan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat orang-orang yang melakukan perbuatan demikian. Sebagaimana disebutkan oleh beberapa hadis di antaranya daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma berkata:
Maksudnya: "Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat perempuan yang menyambung rambut dengan rambut yang lain, orang yang meminta sambungkan rambut dan orang yang bertatu."
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

DALIL PENGHARAMAN:

Di sini, disebut beberapa buah hadis sahih pada darjatnya yang tertinggi (riwayat al-Bukhari dan Muslim) yang melarang perbuatan mengubah ciptaan Allah s.w.t.:

i. Daripada `Aisyah r.a. bahawa seorang wanita bertanya Nabi s.a.w.: Wahai Rasulullah, anak perempuanku yang baru berkahwin terkena penyakit kulit sehingga rambutnya keguguran dan terputus-putus. Apakah boleh ku sambungkan rambutnya? (memakaikan rambut lain yang palsu). Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah s.w.t. melaknat al-Waasilah (orang yang memakaikan rambut palsu kepada orang lain) dan al-Mawsuulah / al-Mustawsilah (orang dipakaikan rambut palsu).

ii. Daripada Humayd bin `Abdir-Rahman bahawa beliau mendengar Mu`awiyah bin Abi Sufyan berkata dari atas mimbar pada satu musim haji tentang rambut palsu yang dibawa oleh seorang pengawal: "Wahai penduduk Madinah, di manakah ulama kamu? Sesungguhnya aku mendengar Nabi s.a.w. melarang perbuatan seperti ini (memakai rambut palsu) dan baginda bersabda: "Sesungguhnya Bani Israel rosak binasa apabila wanita-wanita mereka mengamalkan pemakaian benda ini (rambut palsu)"

Hadis di atas jelas menerangkan bahawa menyambung rambut perempuan dengan rambut orang lain atau meminta orang lain menyambungkan rambutnya dengan rambut orang lain adalah haram.

HIKMAH PENGHARAMAN:

Hikmah pengharamannya adalah kerana pemalsuan hakikat yang sebenar, mengubah ciptaan yang asal, dan menzahirkan keadaan yang tidak benar.

Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud:
Daripada said bin Al-Musaiyab ra katanya, “pada akhir kedatangan Mu’awiyah ke Madinah, beliau berucap kepada kami. Sambil mengeluarkan segumpal rambut dia berkata, aku tidak melihat seseorang membuat ini selain orang Yahudi. Nabi saw menamakannya kepalsuan,

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa sebab pengharaman ialah pemalsuaan, penipuan dan mengubah kejadian asal.
Monday, September 08, 2008

Pakaian Adalah Ibadah


Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:


"Sampaikanlah PesanKu Biarpun Satu Ayat..."


Pakaian itu ada hubungannya dengan ibadat seperti ibadat dalam sembahyang di mana diwajibkan menutup aurat. Sebenarnya pakaian itu sendiri adalah ibadat kerana ia termasuk dalam suruhan agama yang ada nilai pahala dan dosa, kerana itu orang Islam yang menutup auratnya ianya telah mematuhi dan mentaati tuntutan dan suruhan agamanya. Menutup aurat itu ada had dan ketentuan dalam sembahyang dan di luar sembahyang.

Pakaian itu sebenarnya gambaran zahir keperibadian seseorang. Pengaruh pakaian dapat dilihat seperti, ahli perniagaan untuk mereka dapat mengaut keuntungan ialah dengan mempermodelkan atau menunjukkan fesyen pakaian yang akan diharapkan dapat menjadi tarikan atau pengaruh untuk dibeli oleh pengguna-pengguna.

Pengaruh pakaian ini amatlah jelas. Sebab itu pereka fesyen pakaian akan sentiasa merubah corak-corak fesyen pakaian itu dari masa ke semasa, khususnya pakaian perempuan. Tetapi sayang, fesyen pakaian perempuan hari ini banyak yang tidak memenuhi kehendak Islam.

Jika pakaian yang dipakai oleh perempuan-perempuan Islam itu tidak memenuhi kehendak-kehendak Islam, maka ia menggambarkan sejauh mana kekukuhan aqidahnya. Pakaian itu mempunyai hubungkait dengan ketaqwaan. Firman Allah:

Tafsirnya: “Dan pakaian taqwa adalah yang lebih baik.”
(Surah Al-A‘râf: 26)

Dari segi yang lain, apabila seorang perempuan yang memakai pakaian menunjukkan susuk badannya atau pakaian yang mengghairahkan lelaki yang memandangnya mungkin akan berbuat serong, lebih-lebih lagi jika perempuan ini berjalan bersendirian dalam keadaan di mana orang berkesempatan membuat jahat terhadapnya. Jadi pakaian dapat mempengaruhi jiwa seseorang perempuan dan orang lain akan membuat perhitungan terhadap pakaian yang dipakai oleh perempuan itu dengan cara meniru atau sebagainya.

Pakaian mempunyai hubungan dengan ibadat, malah menjadi gambaran bagi aqidah dan akhlak pemakainya. Jika demikian halnya, pakaian perempuan Islam tidak boleh diabaikan. Dan tiada satu mazhabpun yang tidak mewajibkan menutup aurat atau mengharuskan pendedahannya, termasuk rambut, leher tengkok, dada dan betis sehingga ke tapak kaki perempuan

di hadapan lelaki asing yang bukan mahramnya. Hukumnya jelas melalui sumber al-Qur’an dan hadis sebagaimana akan datang keterangannya. Di bawah ini disebutkan panduan atau garis pandu mengenai pakaian-pakaian perempuan Islam:

(i) Hendaklah pakaian itu menutup seluruh badan termasuk kepala, rambut, leher, dada, lengan, dan betis dari anggota perempuan itu. Bahkan wajib menutup tapak kakinya melainkan di dalam keadaan darurat seperti banjir, atau keadaan lecak atau berlumpur atau seumpamanya. Tidak wajib ditutup muka dan dua tapak tangan dari hadapan belakang sehingga dua pergelanggan tangan sahaja yang boleh nampak. Ini adalah dalam keadaan biasa. Adapun dalam keadaan yang boleh mendatangkan fitnah atau keadaan keganasan, maka wajib ditutup seluruh anggota tubuh badannya. Tidak menutup anggota badan adalah dilaknat oleh Allah Ta‘ala dan dosa besar yang wajib dielakkan.

(ii) Hendaklah pakaian itu tebal yang menutup seluruh tubuh badan perempuan supaya tiadak nampak warna kulit dari celah-celah sulaman benang pakaian itu.

(iii) Hendaklah pakaian perempuan itu luas, lebar tidak sempit dan tidak ketat yang boleh menampakkan segi-segi susuk badan perempuan. Pakaian yang ketat itu ialah seperti menampakkan susuk buah dada dan punggung dan lain-lain segi anggota yang mendatangkan fitnah atau keinginan syahwat.

(iv) Jangan pakaian itu menyerupai atau seakan-akan pakaian lelaki, kerana adalah haram dan dosa besar perempuan memakai pakaian yang serupa dan seakan-akan dengan lelaki.

(v) Jangan pakaian itu wangi atau harum, kerana wangi atau harum itu membawa fitnah dan kerosakan yang boleh membangkitkan nafsu dan perhatian orang dan kejahatan yang wajib dihindarkan oleh perempuan-perempuan. Memakai pakaian yang berwangi atau harum itu adalah dosa besar sekalipun dibenarkan oleh suami.

(vi) Jangan pakaian itu berhias, kerana pakaian yang berhias itu menarik pandangan orang dan membawa fitnah dan kerosakan kepada perempuan dan kepada yang memandang itu. Orang-orang Bani Isra’il Yahudi telah dilaknat oleh Allah Ta‘ala kerana mereka membiarkan perempuan-perempuan mereka keluar rumah, ke masjid, ke pasar dan ke kedai-kedai dengan berhias dan bergaya.

(vii) Jangan pakaian itu bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk kerana itu perbuatan takabbur dan ‘ujub yakni merasa tinggi diri, Ia adalah dosa besar.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Jangan kamu perempuan-perempuan Islam berkelakuan dengan

terdedah sebagaimana terdedah perempuan-perempuan sebelum zaman Islam, (dengan menampakkan kejelitaan perempuan kepada lelaki asing dan menampakkan perhiasan-perhiasan mereka).”

(Surah Al-Ahzâb: 33)

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah Al-Nûr: 31)

Nabi Salallahu 'alahi wasallam bersabda diriwayatkan oleh Imam Muslim dan lain ulama bermaksud :

“Dua macam orang ahli neraka, saya (Rasulullah) belum lihat (pada zaman Baginda), satu iaitu kumpulan orang memegang cemeti seakan-akan ekor lembu, mereka membelasah orang dengan cemeti itu (seperti pegawai-pegawai keselamatan yang zalim membelasah manusia). Dua iaitu perempuan memakai pakaian tetapi mereka bertelanjang (pakaian nipis dan menampakkan segala kejelitaan badan dan tiada menutup segala anggota badan) dan berjalan dengan bergaya dan sombong dan menunjuk-nunjuk dan menggerak-gerakkan bahu dan mengikat kepala dengan perca kain supaya nampak besar kepala dan jelita, tiadalah perempuan-perempuan itu masuk syurga, dan tiada mencium bau syurga dan bau syurga itu boleh didapati dari jauh begini dan begini.”

(Hadis riwayat Muslim)

Imam Ahmad meriwayatkan dalam musnadnya dan al-Hakim mengatakan hadis ini mengikut syarat-syarat Imam Bukhari dan Muslim iaitu hadis daripada sahabat Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash berkata: “Saya mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Akan berlaku pada akhir zaman pada umat saya, oleh lelaki menaiki pelana-pelana unta seperti rumah-rumah kenaikkan yang ada ditaruh

di belakang unta (ertinya motokar), tuan punya pelana besar-besar itu (tuan motokar) turun masuk masjid (sembahyang di masjid dan motokar itu menunggu di pintu masjid) isteri-isteri mereka memakai pakaian dan bertelanjang (pakaian yang menampakkan badan dan anggota perempuan) dan di atas kepala mereka ada topi atau dibesar-besarkan ikatan rambut kepala mereka, seperti bonggol di atas bahu unta, maka hendaklah kamu laknatkan mereka, kerana bahawa mereka (perempuan-perempuan) itu sentiasa kena laknat.”

Apabila orang perempuan sama ada perempuan-perempuan Islam atau bukan tidak menutup aurat mereka, maka satu kemungkaran telah berlaku dalam masyarakat. Kemungkaran itu jika tidak dicegah dan dihentikan akan menjadi sebab turunnya bala bencana daripada Allah.

Kerana itu satu daripada kewajipan umat Islam supaya dapat menegakkan agamanya ialah dengan menghuraikan tuntutan al-amru bi al-ma‘rûf wa al-nahyu ‘an al-munkar. Al-amru bi al-ma‘rûf (menyuruh berbuat baik) dan al-nahyu ‘an al-munkar (menegah daripada berbuat jahat) itu di antara syi‘ar-syi‘ar agama yang utama dan kewajipan ke atas kaum muslimin. Allah Subhanahu wata’ala telah memerintahkan kita berbuat baik dan melarang kita dari berbuat jahat dalam kitabNya yang mulia. Dan melalui NabiNya Sallallahu ‘alaihi wasallam sambil menggalakkan kita untuk memberikan perhatian terhadapnya dan mengancam kita yang mencuaikan tugas besar yang mulia ini.

Di dalam al-Qur’an banyak ayat-ayat yang menerangkan tentang kepentingan al-amru bi al-ma‘rûf wa al-nahyu ‘an al-munkar itu. Di antaranya ialah:

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Allah telah meletakkan laknatNya ke atas orang kafir daripada kaum Bani Isra’il atas lisan (lidah) Nabi Daud dan Nabi Isa bin Maryam. Yang demikian disebabkan mereka menderhaka dan sering melanggar batas. Mereka itu selalunya tiada larang melarang terhadap kejahatan yang mereka lakukan. Alangkah buruknya perilaku yang mereka lakukan itu.”

(Surah Al-Mâ’idah: 78-79)

Sementara hadis-hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam pula menyebutkan yang maksudnya: “Siapa yang menyaksikan sesuatu mungkar, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak berkuasa, maka dengan lisannya, jika tiada berkuasa juga, maka dengan hatinya dan yang demikian adalah selemah-lemah iman.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Sabdanya lagi bermaksud : “Wahai sekalian manusia! Hendaklah kamu menyuruh berbuat baik, melarang berbuat jahat sebelum kamu memohon

Allah, lalu tidak dikabulkan kamu dan sebelum kamu meminta ampun daripadaNya, lalu tiada diampuni kamu.”

Sesungguhnya menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat jahat itu tidak menolak rezeki atau mendekatkan ajal, dan sesungguhnya para pendeta dari kaum Yahudi serta para rahib (paderi) daripada kaum Nasrani, apabila mereka meninggalkan menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat jahat, maka Allah Ta‘ala telah melaknati mereka atas lisan nabi-nabi mereka, lalu sesudah itu bermacam-macam balapun turun ke atas mereka sekalian.

Dalam perkara pakaian seragam perempuan yang tidak menutup aurat itu adalah menjadi tanggungjawab kepada pihak berkenaan khasnya di Jabatan yang mempunyai hubungan langsung dengan pakaian seragam itu supaya akan dapat membetulkan selaras dengan tuntutan syara‘.

Jangan Tinggalkan Syi‘ar Yang Mulia Ini

Tugas menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat jahat itu tidak boleh diabaikan sama sekali dan tidak ada alasan apapun untuk meninggalkannya, selama berkuasa dan berkebolehan untuk menjalankan. Siapa yang melalaikan atau mencuaikannnya, dianggap sebagai orang yang memandang ringan terhadap hak-hak Allah Ta‘ala dan tiada menghormati perintah Allah Ta‘ala. Sebab itulah dia dicap sebagai orang yang lemah imannya, kurang takut dan malu terhadap Allah Subhanahu wata’ala.

Tetapi jika dia berdiam diri kerana sesuatu tujuan keduniaan, maka dengan itu dosanya akan menjadi lebih berat dan dia akan terdedah kepada kemurkaan dan kutukan Allah Ta‘ala, disebabkan tidak menegur mungkar atau perbuatan jahat itu.

Membetulkan perkara mungkar bukan sahaja berdasarkan tuntutan ayat atau hadis di atas, tetapi juga didasari perintah umum. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap rakyatnya.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Umumnya pakaian itu bukan sahaja berhubungkait dengan hukum haram atau tidaknya bagi pemakainya, bahkan dapat memberikan imej atau gambaran mengenai bentuk masyarakat atau negara yang mengamalkan sesuatu pakaian itu.

Perlaksanaan hukum Islam bagi sesebuah negara Islam boleh diukur melalui berbagai-bagai sudut. Pakaian boleh menjadi salah satu ciri penting, sejauh mana perlaksanaan hukum Islam itu berjalan. Oleh kerana itu adalah menjadi tanggungjawab kita bersama dalam merubah mana-mana perkara atau corak hidup supaya selaras dengan hukum syara‘.

SENARAI RUJUKAN

Fuziah bt Hj Muhamad Ramli, Aminah bt Idris, 2003. cetakan ke-2, Pendidikan Islam Tingkatan 4, Dewan Bahasa dan Pustaka


Kamus Dewan 2001. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka


Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustafa Al-Bugha, Ali al-Syarbaji 2004. cetakan ke-2, Manhaj Fiqh Al-Syafi’I (jilid III), Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

Ab. Latif b Muda, 2002. Huraian Hadis-hadis Hukum(jilid 2), Pustaka Salam, Kuala Lumpur.


Hj Muhammad Nur Lubis, 1999. Ulasan Ulama’ tentang Janggut & Misai, Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur

Akmal Hj Mhd Zain, 2004. Halal dan Haram Dalam Kehidupan, Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur.


Abdullah ibnu Saleh Al Fauzaan terjemah oleh Na’mah Nor Hasanuddin, 2006. Perhiasan Wanita Muslimah, Pustaka Al-Shafa bersama dengan Victory Agencie, Kuala Lumpur

Abdul Basith bin Ibrahim El-Bantany, 2001. Adab Islam Dalam Kehidupan Sehari-hari, Media Da’wah, Jakarta.

Ahmad Rivai Usman, 2005. Tuntutan Fikih Islam Syaikh Albani, Pustaka Azzam, Jakarta