PENGINTEGRASIAN SUMBER MAKLUMAT DARI LAMAN WEB UNTUK PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN AMALAN BERHIAS DIRI YANG DILARANG DALAM ISLAM(PENDIDIKAN ISLAM)
Sunday, November 16, 2008

RAMBUT PALSU ? MENYAMBUNG RAMBUT


Dalam hal menyambung rambut ini para ashab (‘ulama-‘ulama Asy-Syafi‘e) telah menghuraikannya dengan lebih jelas, iaitu tiada perbezaan pendapat ‘ulama mengenai hukum haram menyambung rambut dengan rambut manusia, sama ada rambut lelaki atau perempuan ataupun rambut suami atau mahram. Ini kerana menggunakan atau memanfaatkan rambut manusia adalah haram disebabkan kemuliaannya.Justify Full

Jika rambut itu bukan berasal daripada manusia dan ianya najis seperti bulu daripada bangkai binatang atau bulu binatang yang tidak boleh dimakan adalah haram disambung dengannya. Sementara rambut bukan kepunyaan manusia yang suci, jika perempuan itu tidak bersuami maka haram dia menyambungnya, melainkan bagi perempuan yang bersuami dan diizinkan oleh suaminya. (Shahih Muslim Bisyarh An-Nawawi: 7/359-360)

Haram menyambung rambut dengan rambut ke atas lelaki dan perempuan. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/364) Malahan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat orang-orang yang melakukan perbuatan demikian. Sebagaimana disebutkan oleh beberapa hadis di antaranya daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma berkata:
Maksudnya: "Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat perempuan yang menyambung rambut dengan rambut yang lain, orang yang meminta sambungkan rambut dan orang yang bertatu."
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

DALIL PENGHARAMAN:

Di sini, disebut beberapa buah hadis sahih pada darjatnya yang tertinggi (riwayat al-Bukhari dan Muslim) yang melarang perbuatan mengubah ciptaan Allah s.w.t.:

i. Daripada `Aisyah r.a. bahawa seorang wanita bertanya Nabi s.a.w.: Wahai Rasulullah, anak perempuanku yang baru berkahwin terkena penyakit kulit sehingga rambutnya keguguran dan terputus-putus. Apakah boleh ku sambungkan rambutnya? (memakaikan rambut lain yang palsu). Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah s.w.t. melaknat al-Waasilah (orang yang memakaikan rambut palsu kepada orang lain) dan al-Mawsuulah / al-Mustawsilah (orang dipakaikan rambut palsu).

ii. Daripada Humayd bin `Abdir-Rahman bahawa beliau mendengar Mu`awiyah bin Abi Sufyan berkata dari atas mimbar pada satu musim haji tentang rambut palsu yang dibawa oleh seorang pengawal: "Wahai penduduk Madinah, di manakah ulama kamu? Sesungguhnya aku mendengar Nabi s.a.w. melarang perbuatan seperti ini (memakai rambut palsu) dan baginda bersabda: "Sesungguhnya Bani Israel rosak binasa apabila wanita-wanita mereka mengamalkan pemakaian benda ini (rambut palsu)"

Hadis di atas jelas menerangkan bahawa menyambung rambut perempuan dengan rambut orang lain atau meminta orang lain menyambungkan rambutnya dengan rambut orang lain adalah haram.

HIKMAH PENGHARAMAN:

Hikmah pengharamannya adalah kerana pemalsuan hakikat yang sebenar, mengubah ciptaan yang asal, dan menzahirkan keadaan yang tidak benar.

Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud:
Daripada said bin Al-Musaiyab ra katanya, “pada akhir kedatangan Mu’awiyah ke Madinah, beliau berucap kepada kami. Sambil mengeluarkan segumpal rambut dia berkata, aku tidak melihat seseorang membuat ini selain orang Yahudi. Nabi saw menamakannya kepalsuan,

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa sebab pengharaman ialah pemalsuaan, penipuan dan mengubah kejadian asal.

No comments:

SENARAI RUJUKAN

Fuziah bt Hj Muhamad Ramli, Aminah bt Idris, 2003. cetakan ke-2, Pendidikan Islam Tingkatan 4, Dewan Bahasa dan Pustaka


Kamus Dewan 2001. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka


Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustafa Al-Bugha, Ali al-Syarbaji 2004. cetakan ke-2, Manhaj Fiqh Al-Syafi’I (jilid III), Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

Ab. Latif b Muda, 2002. Huraian Hadis-hadis Hukum(jilid 2), Pustaka Salam, Kuala Lumpur.


Hj Muhammad Nur Lubis, 1999. Ulasan Ulama’ tentang Janggut & Misai, Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur

Akmal Hj Mhd Zain, 2004. Halal dan Haram Dalam Kehidupan, Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur.


Abdullah ibnu Saleh Al Fauzaan terjemah oleh Na’mah Nor Hasanuddin, 2006. Perhiasan Wanita Muslimah, Pustaka Al-Shafa bersama dengan Victory Agencie, Kuala Lumpur

Abdul Basith bin Ibrahim El-Bantany, 2001. Adab Islam Dalam Kehidupan Sehari-hari, Media Da’wah, Jakarta.

Ahmad Rivai Usman, 2005. Tuntutan Fikih Islam Syaikh Albani, Pustaka Azzam, Jakarta